SEBELUM DIMILIKI ORANG LAIN

Pernikahan merupakan satu sunnah yang sangat digalakkan jika betul-betul berkemampuan. Perkahwinan itu, bukan medan memenangkan suami, atau medan memenangkan isteri. Ia adalah kehidupan yang dikongsi bersama. Kalau ada bahagia, sama-sama akan rasa. Kalau ada duka, sama-sama akan seka air mata. Begitulah sebuah perkahwinan yang bahagia.

Jika masih ada tanggapan bahawa, seorang wanita apabila sudah diambil sebagai isteri, maka dia sudah ‘dimiliki’ oleh suaminya sepenuhnya, hingga tiada apa-apa lagi kebebasan dan hak buat dirinya, maka itu suatu tanggapan yang silap. Perlu segera diperbetulkan.

Islam ini suatu agama yang penuh dengan rahmah. Tiap apa yang disyariatkan olehnya, pasti ada kebaikan tertentu yang hendak dijaga. Objektif agama untuk memberikan kebaikan kepada seluruh manusia serta melindungi mereka dari keburukan harus kita faham sebenar-benarnya.

Meletakkan syarat.

Ramai di kalangan kaum hawa yang tidak tahu bahawa mereka berhak meletakkan sesuatu syarat kepada bakal suami, sebelum mereka diambil sebagai isteri. Hak untuk meletakkan syarat ini, diperakui oleh syarak, dan syarat ( atau janji ) tersebut pula wajib untuk ditepati oleh suami, selepas mereka bernikah.

Dengan syarat ; apa yang disyaratkan itu mestilah suatu yang harus, yang bukan menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, atau syarat-syarat yang membatalkan hikmah sebuah pernikahan. Contohnya sebelum bernikah, seorang perempuan itu meletakkan syarat supaya dia tidak dihalang daripada bekerja. Si lelaki pun bersetuju, maka syarat tersebut wajib untuk dipegang. Nabi saw bersabda;

“Orang Islam itu terikat dengan syarat-syarat yang mereka buat , kecuali syarat-syarat yang menghalalkan yang haram ataupun mengharamkan yang halal.”

(Hadis Riwayat Al Tirmizi)

Namun begitu, terdapat juga syarat-syarat yang tidak dibenarkan. Contoh syarat yang tak dibenarkan adalah; “Selepas berkahwin nanti, tak boleh sentuh saya, dan tak boleh minta saya untuk tidur dengan awak.”

Itu syarat yang tidak diiktiraf oleh syarak, kerana ia telah mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Juga, kalau letak syarat begitu, hilanglah hikmah sebuah pernikahan. Apatah lagi kalau letak syarat supaya tidak perlu taat kepada suami, tidak perlu meminta izin suami kalau hendak ke mana-mana dan sebagainya, maka lebih-lebih lagilah tidak boleh. Selain ia menghalalkan yang haram (nusyuz isteri kepada suami), ia juga menjadikan suami tersebut seorang yang dayus. Dan orang dayus, Nabi s.a.w sebut tak akan masuk syurga.

Hikmah syarat diletakkan sebelum berkahwin.

Hikmah meletakkan syarat ini, sebenarnya seiring saja dengan hikmah merancakkan proses taaruf (berkenalan). Apa guna hendak bertaaruf, saling mengenali lebih lanjut, saling bertukar-tukar perancangan dan berbincang tentang jangka pendek dan jangka panjang, jika akhirnya yang hendak membuat keputusan hanya yang lelaki seorang?

Tujuan sama-sama bertaaruf dan sama-sama berbincang itu, adalah supaya hidup kita akan datang, dicorakkan secara bersama. Jadi, sila bersikap proaktif. Jangan tunggu semuanya daripada si lelaki, kerana kita perlu sedar bahawa lelaki itu belum sah memimpin lagi. Bahkan dalam tempoh bertunang ini, kita bebas untuk berpatah balik pada bila-bila masa sahaja, tanpa perlu kepada keizinan daripada lelaki tersebut. Meletakkan syarat, bermakna mengemaskan sebuah perancangan, yang kalian sama-sama hendak bina.

Katakan, si perempuan meletakkan syarat agar dia tidak dibawa keluar (berpindah) dari negerinya. Maka si lelaki, sebelum bersetuju, akan berbincang juga kesan sampingan dari syarat tersebut. Adakah relevan untuk mendapatkan tempat tinggal dan pekerjaan di negeri bakal isterinya? Adakah pelan ekonomi mereka akan bertambah aktif apabila memulakan bisnes di negeri tersebut, dan sebagainya.

Bincang punya bincang, akhirnya si lelaki pun setuju. Maka si perempuan tidak perlu susah hati memikirkan kena berjauhan dengan orang tuanya yang sakit (kalau itu contohnya sebab dia enggan pindah ke luar negerinya) dan dia juga tidak akan rasa bersalah meletakkan syarat kepada bakal suami, kerana dia juga bersama-sama dalam perbincangan untuk mencorakkan masa depan mereka selepas bernikah nanti.

Kesimpulan.

Hidup berumah tangga itu bahagia, ceria dan mempesona. Jangan jadikan ia suatu lubang yang derita atau sengsara. Jangan jadikan ia suatu tembok atau dinding penjara, yang memisahkan antara anda dengan alam nyata.

Sebelum anda dimiliki orang, binalah perancangan bersama-sama. Ia lebih mulia dari sibuk bermain cinta. Bina perancangan mesti serius, bukan dengan gedik atau mengada-ngada. Dari situ, banyak sikap yang akan tersingkap, banyak juga sudut yang boleh dibuat pertimbangan semula. Sememangnya sebagai manusia, itulah tugas kita, usaha dan terus usaha, sebelum akhirnya kita berserah kepada Allah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s